Kahwin selepas Aidilfitri

ADA sebab anak bujang berusia 33 tahun ini tidak betah duduk di kampung lama-lama untuk berehat mahupun berhari raya. Tiga hari sudah cukup buatnya. Lebih daripada itu, 'kutu-kutu' resah mula merayapi dirinya.
Bukan tidak mahu tinggal lama di desa tercinta di Terengganu, tapi pemikiran sudah merewang ke kota. Maka hanya jasad yang berada di kampung.
"Ayah dan ibu saya sering ke Kuala Lumpur, jadi selalu saya bertemu dengan mereka," ujar personaliti TV3, Ally Iskandar. Dia merupakan anak kedua daripada tujuh adik-beradik.
"Bukan tidak mahu lama-lama. Pertama sekali, saya fikirkan kerja. Kedua, saya sangat dimanjakan di rumah hingga tidak tahu apa mahu dibuat dan ketiga, adalah pertanyaan berulang yang kerap ditanya kepada saya, bila nak kahwin?
"Itulah soalan wajib setiap tahun," ujarnya ketawa mengingatkan sambutan Aidilfitrinya saban tahun.
Bicara Ally lagi, suatu ketika, pernah dia ada jawapan wajib untuk soalan keramat itu. Dulu katanya, dia menunggu Datuk Siti Nurhaliza namun selepas penyanyi terkenal itu sudah pun bersuami, dia hilang akal.
Paling senang jawapan 'selepas raya' diberikan tetapi dia sendiri tidak tahu raya tahun bilakah statusnya akan bertukar.
Akui Ally, jarang-jarang sekali kakinya menjejak Gong Badak, Kuala Terengganu. Kalau bukan kerana menyambut Syawal, sekali dua sahaja dalam setahun dia menjengah negeri Pantai Timur tersebut.
"Tiap kali saya melangkah ke rumah, ibu saya akan tanya dua soalan. Pertama bertanyakan perjalanan saya dan kedua soalan wajibnya adalah 'Dah jumpa dah?' merujuk kepada menantu yang dinantikannya," tutur Ally yang kini sudah biasa dengan situasi tersebut.
Tunggu dipikat wanita
Mengaku sedikit tertekan dengan soalan yang berulang-ulang itu, malah melihatkan rakan-rakan dan sanak saudara sebaya yang sudah berkeluarga, dia mula terfikirkan hala tuju hidupnya.
Nah, segala terjawab. Shiedah balik Gong Badak psl nak kawen ngan Ally Iskandar.. Sampai hati tak jemput kitaorg...Akakakakaa..